Sejarah Penubuhan

Sejarah Ringkas Penubuhan Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia)

1801

Perkhidmatan Terawal Perancangan Bandar di Tanah Melayu

Tahun 1801 - Penubuhan Jawatankuasa Penilai (Committee of Assessors) di Pulau Pinang bagi menjalankan perkhidmatan awal perancangan bandar. Telah menyusun atur bandar kepada keadaan yang paling sesuai untuk keadaan penduduk. Merupakan rekod-rekod terawal untuk memperkenalkan aktiviti perancangan bandar di negara ini.
1912 - 1913

Keperluan Perkhidmatan Perancangan Bandar

Tahun 1912 - W.F. Nutt memohon Majlis Persekutuan (Federal Council) Negeri-negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) mengambil tindakan terhadap pembangunan dan perluasan perbandaran yang tidak terancang. Tahun 1913 - Satu perundangan perancangan bandar disediakan supaya bandar tersebut dapat disusun aturkan mengikut kawasan perkedaian dan lain-lain aktiviti (Federal Council - 1913) di Kuala Lumpur. E.L. Brockman (Chief Secretary) telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Perancang Bandar yang berkuatkuasa bagi kawasan Kuala Lumpur dengan bertujuan untuk menjalankan perkhidmatan perancangan bandar.
1920 - 1933

Detik Permulaan

3 September 1920 - Kerajaan British di Tanah Melayu memohon supaya Government Town Planner, Charles Reade dari Kerajaan Australia Selatan datang ke Tanah Melayu. 18 Januari 1921 - Pejabat pertama terletak di bangunan Secretariat, Kuala Lumpur. Dari 1921 hingga 1927, Reade telah dibantu oleh pegawai-pegawai Juru Ukur dan Jurutera Awam yang dipinjam dari Jabatan Ukur dan Jabatan Kerja Raya. Pegawai Tadbir dari Pejabat Tanah juga telah dilibatkan dalam mentadbir aktiviti perancangan semula dan agihan lot sebagai Town Planning Administrator. Tahun 1923 - Penggubalan Enakmen Perancangan Bandar yang memperkenalkan General Town Plans dan menjalankan aktiviti penyusunan semula lot-lot (replanning and redistribution) di Kuala Lumpur dan di beberapa pekan di F.M.S. Susun atur bandar baru pertama telah disediakan di Kuala Kubu Baru pada tahun 1924 bagi menempatkan semula pekan lama di Ampang Pechah yang sering dilanda banjir. Enakmen Perancang Bandar 1927 telah digubal menggantikan Enakmen 1923. Lanjutan daripada itu, Jawatankuasa Perancang Bandar telah dimansuhkan dan aktiviti perancangan telah diperkukuhkan. Pada penghujung tahun 1929, jabatan telah mempunyai lima pegawai perancang bertauliah dari Britain dan ditempatkan di F.M.S. Dengan persaraan Reade pada 1929, R.P Davis menjadi ketua jabatan. Semua pegawai perancang bandar telah ditamatkan perkhidmatan. Tahun 1933 - Khidmat Perancangan berpusat di Kuala Lumpur, menempatkan tugas-tugas perancangan yang hanya meliputi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
1941 - 1944

Perang Dunia Kedua

Pada tahun 1941, jabatan telah ditutup sementara akibat Perang Dunia Kedua. Jabatan ini kemudian telah dibuka semula di bawah pentadbiran Jepun pada 3 Mei 1944 sebagai sebahagian daripada Jabatan Kerja Raya, sehingga T.H.H. Hancock, seorang arkitek dan perancang bandar, tiba pada bulan September 1946.
1955 - 1956

Selepas Perang Dunia Kedua

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, aktiviti jabatan diperluaskan merangkumi kawasan-kawasan Lembaga Bandaran dan Majlis Bandaran di dalam Malayan Union dan jawatan pegawai perancang dikenali sebagai Pegawai Perancang Bandar Malayan Union. Selepas T.H.H. Hancock, T.A.L Concannon telah mengambil alih dan di antara tahun 1955 hingga 1956 beliau telah menubuhkan tiga pejabat wilayah iaitu di Johor Bahru, Ipoh dan di Pulau Pinang. Pejabat di Kuala Lumpur kekal sebagai ibu pejabat di samping menjalankan tugas-tugas perancangan bagi Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Pelan susun atur perumahan FELDA dan bandar baru Petaling Jaya diletak di bawah penyeliaan T.A.L. Concannon sehingga seorang jurutera kanan dilantik pada penghujung tahun 1954 iaitu Francis McWilliams (yang kemudiannya menjadi Datuk Bandar London dari tahun 1992-1993).
1958

Selepas Merdeka

Sistem perkhidmatan perancangan telah dijalankan berdasarkan kepada dua peringkat iaitu Persekutuan dan Negeri di bawah "senarai bersama" (concurrent list) Perlembagaan Persekutuan. Selaras dengan ini, organisasi jabatan telah disusun semula dengan mengadakan pejabat-pejabat di peringkat negeri di seluruh Semenanjung Malaysia. Penyusunan semula ini telah dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1958. Dato' Haji Mohd Rosli Buyong menjadi Ketua Pengarah pada tahun 1970. Unit Landskap ditubuhkan pada tahun 1981 (kemudian menjadi Jabatan Landskap Negara pada tahun 1996). Tahun 1990an Dato' (Prof.) Zainuddin Muhammad menjadi Ketua Pengarah pada tahun 1993. Rancangan tempatan rancak disediakan oleh pejabat-pejabat cawangan rancangan pembangunan. Pelan Susun atur Putrajaya dan Cyberjaya telah dirancang pada awal tahun 90an. Pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa telah dibuat menyentuh aspek-aspek pemeliharaan alam sekitar, fizikal, topografi, landskap dan pemeliharaan pokok (Akta A933) dan Akta Perancangan Bandar (Akta 538) juga digubal untuk mengawal mutu profesionalisme para pengamal perancang bandar. Pada tahun 1990an tumpuan juga diberikan kepada perancangan mampan melalui penyediaan Doktrin Perancangan Sejagat dan juga pelbagai Garis Panduan Perancangan bagi rujukan dan panduan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perancangan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) telah dijalankan melalui pewujudan garis panduan Kawasan Sensitif Alam Sekitar. Negeri Selangor telah mempelopori dengan mengambil inisiatif dengan melaksanakan Agenda 21, Strategi Pembangunan Mampan Selangor. Teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah diterapkan dalam penyediaan rancangan pemajuan. Penyelidikan indikator bandar mampan melalui program Malaysia Urban Indicator Network (MURNInet) telah dijalankan pada penghujung 90an dan diperkembangkan pada tahun-tahun berikutnya.
2000

Tahun 2000 dan seterusnya...

Dato' Wan Mohamad Mukhtar Mohd. Nor dilantik menjadi Ketua Pengarah pada tahun 2001. Pada tahun 2001, Akta Perancang Bandar telah dipinda bagi mengimbangi kuasa kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa. Antara perkara baharu ialah kewujudan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Jawatankuasa Perancang Wilayah, Rancangan Fizikal Negara, kewajipan untuk berunding, nasihat MPFN tentang a. pembangunan bandar baru lebih dari 10 000 penduduk atau lebih dari 100 hektar b. pembangunan di puncak atau lereng bukit dalam kawasan sensitif alam sekitar, dan c. pembinaan apa-apa infrastruktur atau kemudahan utama. Reka bentuk dan penilaian opsyen-opsyen pembangunan telah dilaksanakan menggunakan teknik-teknik sains pemutusan (decision science) dan GIS. Contoh teknik ialah Multi-Criteria Decision Making (MCDM).

Tahun Penubuhan jabatan dan perundangan perancangan

1921 - Jabatan Perancang Bandar di Kuala Lumpur ( 18 Januari 1921 )
1923 - Enakmen Perancang Bandar
1925 - Cawangan Jabatan Perancangan Bandar di Ipoh (16 Februari 1925 )
1927 - Enakmen Perancang Bandar (ganti 1923)
1937 - Enakmen Lembaga Bandaran (CAP 137)
1947 - Perang Dunia Kedua, semua pejabat ditutup
1956 - Pejabat-pejabat wilayah di Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang

Tahun Penubuhan JPBD Negeri selepas merdeka

1958 - Negeri Perak
1958 - Negeri Johor
1958 - Negeri Selangor
1959 - Negeri P.Pinang
1960 - Negeri Pahang
1963 - Negeri Kelantan
1965 - Negeri Kedah
1969 - Negeri Terengganu
1974 - Unit Perancangan Bandar-Bandar Baru di Kuantan
1976 - Akta Perancangan Bandar dan Desa
1977 - Negeri Melaka
1978 - Negeri Perlis
1981 - Unit Landskap ditubuhkan di Ibu Pejabat
1987 - Pejabat-Pejabat Caw. Rancangan Pemb. di Alor Setar, Kuala Lumpur, Melaka dan Kuantan
1990 - Bhg. Penyelarasan dan Pengawasan Taman-Taman Awam ditubuhkan di Ibu Pejabat
1995 - Akta Perancang Bandar (Akta 538)
1996 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995 (Akta A933)
1996 - Jabatan Landskap Negara
2001 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129)

Pesuruhjaya/ Ketua Pengarah

Charles C. Reade 1921
R.P. Davies 1929
T.A.L. Concannon 1950
Walter Fairbanks 1960
Frank Watkinson 1965
Dato’ Rosli b.Buyong 1969 Hingga 1985
Chung Weng Foo 1985 Hingga 1986
Datuk Dr. Mohamed Ishak b. Hj. Mohd Arif 1986 hingga 1993
Dato’ Prof. Zainuddin b. Muhammad 1993 Hingga 2001
Dato’ Wan Muhammad Mukhtar b. Mohd Noor 2001 Hingga 2003
Dato’ Hj. Mutalib b. Jelani 2003 Hingga 2005
Dato’ Mohd. Fadzil b. Hj. Mohd. Khir 2005 Hingga 2014
Dr. Dahlia bt. Rosly 2014 Hingga 2016
Dato' TPr Dr. Dolbani bin Mijan 2016 Hingga 2017
Dato' TPr Zainuddin bin Ahamad 2017 Hingga 2017
Dato' TPr Hajah Rokibah binti Abdul Latif 2017 Hingga 2019
Dato' TPr Mohd Anuar bin Maidin 2019 Hingga 2020

Cetak Emel

kpkt     mygov   mygovuc   mampu min     hrmis min      anm min     sprm min    Logo MyICSC